AMALAN puasa Ramadan seharusnya bantu cemerlangkan diri dari segi minda, psiko-emosi, fizikal dan spiritual
Perokok tegar merupakan individu yang mendapati diri mereka sukar untuk
berpuasa dalam Ramadan. Baru beberapa jam berpuasa mereka berasa tidak
selesa kerana mengalami kesan ketagihan.
Nikotin daripada tembakau merupakan bahan utama yang menyebabkan
perokok berasa cergas sebaik-baik sahaja merokok. Ia berlaku kerana
nikotin menyebabkan paras gula meningkat. Bagaimanapun merokok
menyebabkan peningkatan paras gula berlaku secara mendadak. Malah
penurunan paras gula juga mendadak.
Tidur adalah perbuatan terlarang pada waktu pejabat. Perokok yang tidak
tahan mengantuk akan sanggup curi-curi tidur sekiranya mendapati bos
tiada dalam pejabat.
Jadi, penagih rokok sebenarnya menghadapi kesukaran menghadapi waktu berpuasa pada siang hari sepanjang Ramadan.
Puasa merupakan ibadah yang membawa berkat dan nikmat kepada seluruh
umat Islam. Namun ia didapati sebagai amalan yang menyeksa bagi penagih
rokok, gula dan kopi. Sebab itu kadang-kadang anda terdengar rungutan
daripada golongan isteri mengenai suami mereka yang ketagihan rokok
sering ponteng puasa. Belum pun sampai waktu tengah hari penagih rokok
sudah berbuka dengan merokok.
Interpretasi meleset
Kerana menghormati Ramadan, sesetengah penagih rokok hanya berbuka dengan menghisap rokok. Mereka tidak makan dan tidak minum.
Merokok merupakan seolah-olah suatu perbuatan yang memberikan mereka nyawa. Tidak dapat merokok selama berjam-jam
dianggap sebagai pemutus nyawa. Berbuka dengan merokok pula diterima sebagai sumber kehidupan!
Pencandu atau penagih rokok biasanya mempunyai tabiat atau kebiasaan
berikut. Mereka akan merokok sebaik-baik sahaja lepas makan.
Mereka merokok ketika minum waktu rehat tidak kira apabila bersendirian
atau bersama rakan. Merokok ketika buang air besar adalah perbuatan
wajib bagi mereka. Mereka selalu hilang pada waktu bekerja hanya kerana
perlu lepaskan gian untuk merokok.
Terdapat segelintir pemandu bas ekspres yang merokok ketika memandu bas
yang sedang dipenuhi penumpang. Jika ada penumpang cuba menegur, mereka
akan memberikan pelbagai alasan.
Pertama mereka akan mengantuk jika tidak merokok. Alasan kedua ialah
asap rokok keluar dari bas kerana mereka buka tingkap di sebelah kanan
ruang pemandu. Alasan lain ialah mereka hanya hisap rokok bukan hisap
dadah!
Walaupun buka tingkap, asap rokok tetap meliputi ruang penumpang. Kalau
tidak masakan penumpang merasa terganggu dengan bau asap rokok. Wahai
golongan pemandu bas ekspres yang merokok ketika memandu bas yang
membawa penumpang, ingat-ingatlah merokok ketika memandu bas adalah
salah di sisi undang-undang.
Sebahagian perokok pula akan merokok sesuka hati tidak kira di mana
mereka berada seperti di restoran. Kerana hendak jaga hati pelanggan,
pemilik restoran pula menyediakan bekas puntung rokok mudah alih yang
kadang-kadang dibubuh di semua meja.
Ramai juga yang merokok ketika berada bersama keluarga yang dianggotai
oleh remaja dan kanak-kanak contohnya ketika berehat dan memandu.
Sesetengahnya mempunyai tabiat yang buruk iaitu mengirim beli rokok kepada isteri, anak perempuan dan anak lelaki bawah umur.
Ramadan ialah bulan muhasabah. Menahan diri daripada makan dan minum
serta daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa termasuk
merokok, sepatutnya dijadikan sebagai latihan yang memberi kekuatan
minda, fizikal dan kerohanian setiap orang yang berpuasa.
Jika ada kemahuan, puasa Ramadan boleh dijadikan waktu untuk berhenti
merokok. Antara kaedah utama untuk mengurangkan ketagihan kepada bahan
tersebut ialah bersahur dan mengakhirkan waktu bersahur.
Perokok yang langsung tidak bersahur dan makan sahur awal lebih mudah
mengalami simptom ketagihan merokok. Ia juga dipercayai menyebabkan
sesetengah perokok akan mengalami kesan ketagihan yang lebih buruk.
Sesetengah orang tetap terus mengamalkan kebiasaan yang mereka lakukan
iaitu tidak bersahur dan bersahur terlalu awal. Sebahagian orang
melakukannya kerana jahil (tidak tahu) atau kerana degil.
Pada pandangan penulis, kemajuan dalam penyampaian maklumat pada zaman
sekarang seharusnya tidak dijadikan alasan untuk mengaku diri jahil.
Setiap orang yang mengaku Islam seharusnya mengamalkan sikap para
sahabat iaitu samikna wa’athokna (maksudnya ialah kami dengar dan kami
taat).
Daripada Abu Hurairah berkata: "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Apa saja yang aku larang kamu melaksanakannya, hendaklah kamu jauhi dan
apa saja yang aku perintahkan kepada mu, maka lakukanlah menurut
kemampuan kamu.
Sesungguhnya kehancuran umat sebelum kamu adalah karena banyak bertanya
dan menyalahi nabi-nabi mereka (tidak mahu taat dan patuh).” (Riwayat
Bukhari dan Muslim)
Keperluan vitamin
Sesungguhnya terdapat beberapa hadis mengenai kebaikan makan sahur.
Antaranya seperti disebutkan daripada Anas bin Malik RA, Nabi Muhammad
SAW bersabda: “Makan sahurlah kalian, karena sesungguhnya dalam makanan
sahur terdapat barakah).” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Maksud barakah atau dalam bahasa Melayu yang biasa disebut berkat ialah
kebaikan yang tetap dan banyak. Barakah dalam hadis tersebut dikatakan
ulama meliputi kebaikan pada makanan sahur dan perbuatan bersahur.
Mengenai sunnah mengakhirkan bersahur pula kita dapati hadis daripada
Anas bin Malik RA, daripada Zaid bin Tsabit RA beliau berkata, “Kami
makan sahur bersama Rasulullah SAW, kemudian kami berdiri untuk
mengerjakan solat.” Anas berkata, “Aku berkata kepada Zaid,
"Berapa rentang waktu antara azan dan sahur?" Zaid menjawab, "Kira-kira 50 ayat"” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis al-’Irbadh bin Sariyah, beliau berkata, ”Rasulullah SAW
mengundang ku untuk makan sahur pada bulan Ramadan lalu mengatakan,
“Marilah menikmati makan pagi yang mengandungi barakah.” (Riwayat Abu
Daud, an-Nasai, Ahmad, Baihaqi dan Ibnu Khizaimah)
Jika perokok mendapati makanan mereka sebelum dan sepanjang Ramadan
tidak mencukupi dari segi nutrien contohnya vitamin tertentu, maka
mengambil suplemen multivitamin adalah pilihan bijak. Antara lain
contohnya beberapa jenis vitamin B membantu membaik pulih sel termasuk
DNA.
Makanlah pelbagai makanan berantioksidan. Lemak tradisional yang
menyihatkan seperti makanan bersantan, telur, minyak sapi, keju dan
mentega susu asli sepatutnya dimakan setiap hari kerana ia membantu
orang yang berpuasa lambat merasa lapar.
Gula dan minuman tinggi kafeina merupakan perangsang adrenalina
sepertimana merokok. Jadi, pemilihan makanan yang sesuai, melewatkan
waktu bersahur dan kesungguhan akan membantu perokok tegar menjalani
puasa Ramadan dengan cemerlang.
Jika anda teliti betul-betul maksud firman ALLAH SWT: “...janganlah
kamu campakkan (diri sendiri) ke dalam kebinasaan dengan tangan sendiri,
dan berbuat baiklah. Sesungguhnya ALLAH menyukai orang yang berbuat
baik.” (Surah Al-Baqarah: 195)
Penulis percaya ramai perokok yang akan berhenti merokok. Merokok
secara tegar selama bertahun-tahun meningkatkan risiko kanser seperti
kanser paru-paru berlipat kali ganda.
Dr. Bahrain Samah, MD (AM ), RH (AH G). Herbalis
profesional bertaraf dunia. Juru runding dan pendidik nutrisi holistik.
Buku: Kawal Berat Badan, V. Aromaterapi, Serangan Jantung, Diabetes
Jenis 2. Rawat Dengan Herba – Cegah Demam & Flu
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment