Thursday, July 10, 2014

Tinggal nasi bungkus elak dicekup Jaipk



BAGAN SERAI – Lebih 10 pelanggan sebuah kedai makan di Kuala Kurau, di sini lari lintang pukang sebaik premis itu diserbu anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk), semalam.

Dalam keadaan kelam kabut itu, ada sebahagian pelanggan tertinggal bungkusan nasi yang dipesan gara-gara mahu mengelak diri daripada dicekup.

Operasi sama turut tegang dengan insiden kecoh apabila salah seorang pekerja kedai makan itu bertindak memaki hamun anggota penguat kuasa Jaipk yang sedang menyoal siasat pemilik.

Operasi bersama  Jaipk dan Pejabat Agama Daerah Kerian (PADK) itu, tertumpu kepada 13 kedai makan hot spot di sekitar Bagan Serai dan Parit Buntar.

Tiada sebarang tangkapan dibuat, namun operasi disertai 15 anggota itu memberi amaran lisan kepada kesemua pemilik premis dan pelanggan beragama Islam yang dikenal pasti membeli makanan secara bungkus.

Penolong Pengarah Jaipk (bahagian penguatkuasaan), Suffian Abdul Latif ketika ditemui berkata, tiada tangkapan dibuat disebabkan peniaga kini lebih cerdik memanipulasi undang-undang yang ditetapkan.

Menurutnya, kaedah menjual makanan secara berbungkus menjadi trend dalam kalangan peniaga kerana mereka menyedari had kuasa Jaipk untuk mengambil tindakan undang-undang hanya tertakluk kepada orang Islam yang memakan, meminum dan menghisap sesuatu serta-merta di tempat awam.

“Dakwaan Jaipk tidak mengeluarkan sebarang notis peniaga Islam di larang menjual makanan dan minuman sebelum jam 3 petang juga tidak benar kerana notis Pekeliling Enakmen Jenayah Syariah (Perak) 1992 sudah diedarkan kepada semua peniaga di seluruh Perak pada bulan Mei lalu.

“Di sebalik kecerdikan peniaga mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang, mereka terlupa perbuatan mereka salah di sisi agama kerana bersubahat dengan orang yang sengaja enggan berpuasa,” katanya.

Suffian berkata, meskipun masih ada peniaga Islam yang bersubahat dengan golongan tidak berpuasa, bilangan premis terlibat di daerah Kerian semakin berkurangan berbanding tahun-tahun terdahulu.

“Pihak kami mengenal pasti beberapa premis makanan yang sebelum ini bersubahat, kini tidak lagi membuka perniagaan mereka sebelum jam 3 petang.

“Pemantauan terhadap premis makanan dan minuman yang ingkar arahan Jaipk akan diteruskan dari semasa ke semasa.

“Justeru, Jaipk menasihatkan peniaga jujur dengan perintah agama dan tidak bersubahat dengan golongan tidak berpuasa semata-mata mengaut keuntungan lebih kerana rezeki diterima dikhuatiri tidak berkat,” katanya.

Seorang pemilik kedai makan ketika ditemui berkata, dia terpaksa berniaga pada waktu siang di sepanjang Ramadan kerana keuntungan diperoleh lebih tinggi berbanding tempoh lain.

Menurutnya, dia tidak membenarkan mana-mana pelanggan beragama Islam makan di kedai makannya, namun tidak menolak sekiranya makanan itu dibeli pelanggan secara dibungkus.

“Kami mula niaga jam 10 pagi dan tidak benarkan orang Islam makan di premis kami.

“Cuma kalau mereka minta beli bungkus, saya tidak menolak untuk menjual. Tetapi dosa tak puasa itu depa tanggung sendiri,” katanya sewaktu disoal siasat anggota Jaipk dalam satu serbuan di sebuah kedai makan di Pekan Alor Pongsu, di sini.

Bagaimanapun, alasan pemilik kedai makan terbabit dipertikai salah seorang anggota penguat kuasa Jaipk yang menegaskan perbuatan menjual makanan dan minuman kepada pelanggan beragama Islam yang tidak berpuasa adalah satu tindakan subahat.

“Encik tidak boleh beri alasan dosa depa tanggung sendiri. Encik pun turut dapat dosa sebab bersubahat menggalakkan umat Islam tidak berpuasa,” kata salah seorang anggota penguat kuasa Jaipk kepada pemilik kedai makan terbabit.


Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment