Thursday, July 17, 2014

Kulit bertukar jadi kehitaman


KOTA BHARU - Penderitaan seorang wanita yang mengalami masalah kegagalan kelenjar peluh sehingga menyebabkan kegatalan kulit dan bertukar menjadi kehitaman menyebabkan ibu dua anak, berasal dari Kampung Panjang di sini, tidak dapat bekerja.


Lebih malang lagi apabila Fatihah Awang, 26, turut lumpuh sebelah badan, menyebabkan dia terpaksa bergantung dengan bantuan ibunya, Nazirah Adam, 50, untuk menguruskan dirinya setiap hari sejak hampir tiga tahun lalu.

Fatihah berkata, penyakit kegatalan kulitnya bermula ketika dia masih bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya di bandar ini.

“Rasa tidak selesa dan akibat kegatalan yang melampau, saya segera dapatkan rawatan doktor di hospital tetapi doktor mengesahkan saya alami masalah kelenjar peluh dan memberitahu penyakit saya mungkin akan semakin serius sehingga menyebabkan lumpuh.

"Merata tempat saya dapatkan rawatan, malah turut gunakan rawatan tradisional namun tidak berhasil. Kulit saya semakin lama semakin bertukar kehitaman di muka, tangan dan seluruh badan, jadi saya amat mengharapkan bantuan bagi mengubati penyakit saya ini," katanya kepada media.

Terdahulu, keluarga tersebut menerima kunjungan pelajar tahun akhir Kolej Polytech Mara Kota Bharu (KPTM) bersama pensyarah, Wan Salwani Wan Rossli sempena program ‘Setulus Kasih Ramadan’, yang turut menyampaikan sumbangan hamper makanan. Turut hadir,
Setiausaha Umno Bahagian Pengkalan Chepa, Che Othman Che Wil.

Dalam pada itu, Fatihah berkata, dua anaknya, Nurul Quruttal Ain Mat Salleh, 4, dan Nurul Damia Marisa, 3, turut dijaga ibunya selepas suaminya meninggal dunia setahun lalu akibat kemalangan.

“Semua kerja rumah, menguruskan diri saya dan mengasuh anak dilakukan ibu. Ayah juga turut membantu memandangkan adik beradik lain tinggal berjauhan.

“Semua perbelanjaan diuruskan ibu dan ayah yang turut dibantu dengan elaun bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Sementara itu menurut Nazirah, anak ketiga daripada lima beradik itu kini hanya mampu terlantar.

“Selagi makcik termampu, makcik akan jaga dia walaupun kadangkala kudrat ini tidak kuat dulu, namun untuk tinggalkan dia kepada orang lain, makcik tidak berapa yakin," katanya yang simpati dengan nasib anaknya itu.


Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment