Wednesday, July 16, 2014

Tertipu tilam RM55,000



KOTA BHARU - Seorang suri rumah bukan sahaja kerugian RM12,300, malah hadiah sebuah tilam ‘Jade’ yang kononnya bernilai lebih RM55,000 seperti dijanjikan sebuah syarikat jualan langsung yang menjalankan tawaran hadiah kepada pemenang secara percuma lesap begitu sahaja.

      
Taktik terbaharu digunakan ialah dengan teknik 'sentuh dan menang' menyasarkan golongan 30-an sehinggalah warga emas.



Mangsa enggan dikenali berkata, kejadian seminggu lalu ketika dia ke sebuah pasar raya di bandar ini untuk membeli kelengkapan persiapan Aidilfitri dan ketika itu, dia dihampiri dua jurujual,  seorang lelaki dan wanita.

Menurut mangsa, dua kad diserahkan kepadanya dan salah satu kad memaparkan perkataan ‘Thank You’, manakala kad kedua bertulis dia memenangi hadiah dan boleh menuntut di pejabat syarikat terbabit, namun perlu menyentuh kad itu di mesin khas di pejabat syarikat berkenaan untuk menuntut hadiah.

“Saya mulanya ragu-ragu, namun pujukan jurujual yang memberitahu saya tidak perlu membayar apa-apa memandangkan bakal memenangi wang atau paling tidak, hadiah utama sebuah kereta Toyota Camry dan perlu menuntut hadiah dimenangi di pejabat mereka di Jalan
Long Yunus, membuatkan saya teruja.

“Tanpa banyak soal, dua jurujual itu menghampiri saya dan terus mengiringi saya dan masuk ke dalam kereta saya serta tunjuk pejabat mereka di Jalan Long Yunus. Tiba di pejabat, saya diarahkan turun dan buat perbincangan dengan majikan mereka,” katanya ketika ditemui di pejabat Sinar Harian, di sini.

Menurutnya, keyakinan dirinya semakin bertambah apabila mereka turut menunjukkan album kepadanya, selain gambar pemenang yang memenangi hadiah ditawarkan.

"Namun harapan saya untuk mendapatkan wang RM55,000 hanya tinggal janji kosong apabila mereka turut memaksa saya mengeluarkan wang simpanan, yang menurut mereka untuk dijadikan cagaran sebelum dapat menebus hadiah yang telah saya menangi.

“Saya rasa tertipu apabila mendapati rupa-rupanya barangan sebenar hanya bernilai tidak sampai RM1,000 ditawarkan dengan harga yang mahal dan tidak setanding dengan nilai dibayar.

 “Kini saya rasa terpanggil untuk mendedahkan perkara ini kepada orang ramai dan mengharapkan supaya masyarakat di luar sana tidak tertipu dan terus menjadi mangsa sindiket ini," katanya.

Menurutnya, buat masa ini dia masih cuba mendapatkan maklumat dan mengharapkan pihak berkuasa memantau kegiatan itu dengan segera agar lebih ramai lagi pengguna tidak menjadi mangsa.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di sebuah pusat beli-belah di sini mendapati, golongan terbabit licik melakukan aktiviti di kawasan sering menjadi tumpuan ramai bagi mendapatkan pelanggan dengan cara mudah.

Mereka bergerak dalam kumpulan dengan menunggu di kawasan luar parkir kereta dan mula menghampiri orang ramai di kawasan terbabit dengan menghulurkan kad. Apabila pelanggan mendapat kad tersebut, mereka mengucapkan tahniah dan kemudian akan terus memujuk mangsa mengikut mereka untuk menuntut hadiah.


Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment