Tuesday, July 8, 2014

Pengusaha sangkar ikan nyaris diculik


KOTA KINABALU - Cubaan sekumpulan tujuh lelaki bersenjata untuk menculik seorang pengusaha pusat ternakan ikan dalam sangkar di Pulau Bangau-Bangau, Semporna, awal pagi ini gagal kerana pengusaha itu tidak berada di pusat ternakan itu.
   
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata seorang daripada pekerja pusat ternakan itu menghubungi Polis Marin berhubung kejadian itu pada kira-kira 1 pagi.
   
"Enam suspek bertopeng, satu tidak bertopeng manakala enam bersenjata parang panjang dan seorang menggunakan senjata api pistol. Mereka menaiki sebuah bot laju warna biru dengan outboard enjin 200hp," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Jalaluddin berkata polis marin dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) mengarahkan pengusaha-pengusaha ikan sangkar agar meninggalkan pusat ternakan ikan mereka dan bermalam di pekan Semporna bagi mengelak sebarang kemungkinan.
   
"Kami telah menghantar tujuh buah bot Polis Marin bersama-sama anggota UTK keluar untuk mengesan bot laju tersebut di kawasan perairan Pulau Bangau-Bangau, Mataking dan pulau-pulau yang berhampiran," katanya.

Jalaluddin berkata suspek hanya mengambil televisyen, dekoder Astro, beberapa peralatan dan kelengkapan rumah yang terdapat di pusat ternakan ikan sangkar berkenaan.
    
Beliau berkata Pengarah Operasi Esscom Datuk Abdul Rashid Harun sedang menyelaraskan operasi antara agensi-agensi berkaitan termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim).
   
Menurutnya, polis turut menahan lapan pekerja pusat ternakan itu yang berusia 14 hingga 43 tahun termasuk dua wanita kerana didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
   
"Penahanan kesemua pekerja warga Filipina itu bagi membantu siasatan kemungkinan mereka terlibat dalam insiden itu," katanya.
   
Jalaluddin bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sama ada suspek masih berada di perairan negara, namum kawalan keselamatan di beberapa buah kampung serta pulau di perairan Semporna diperketatkan. - Bernama

No comments:

Post a Comment