Wednesday, July 9, 2014

Berhenti perdaya suri rumah



KUANTAN – Suri rumah, khususnya di sekitar kawasan perumahan diingatkan supaya berhati-hati dengan penjualan langsung kepala tong gas dari rumah ke rumah yang semakin giat dilakukan pengusaha luar memandangkan mereka cuba memaksa pembeli dengan alasan kepala tong gas digunakan tidak selamat.

Adun Teruntum, Sim Chon Siang berkata, penjualan tersebut bukan dilakukan dari pintu hadapan, malah modus operandi mereka adalah dari pintu belakang rumah dan harga yang ditawarkan berlipat gali ganda sehingga mencecah RM300.

Menurutnya, antara lokasi yang menjadi perhatian penjualan mereka di kawasan perumahan sekitar Jalan Haji Ahmad, Air putih dan Taman Sri Setali, dekat sini.

“Ramai suri rumah yang mula datang mengadu memandangkan mereka seakan-akan dipaksa untuk menukar kepala tong gas tersebut dengan alasan pembelian tersebut tidak mendapat kelulusan daripada kerajaan.

“Lebih teruk lagi, sekiranya suri rumah tidak menunjukkan sijil kelulusan daripada penjual kepala tong gas tersebut ia dianggap tidak selamat digunakan dan seterusnya disarankan untuk membeli kepala tong gas lebih selamat daripada pihak mereka.

“Mereka menakut-nakutkan suri rumah dan memaksa mereka menukar kepala tong gas yang mencecah sehingga RM300, malah penjualan tambahan seperti penapis air dan sebagainya yang juga boleh mencecah sehingga RM1,000,”  katanya pada satu sidang media, dekat sini.

Dalam pada itu, katanya, kebanyakan suri rumah terperangkap dengan tahap keselamatan yang digembar-gemburkan oleh syarikat jualan langsung itu hinggakan sudah ramai antara mereka menukarkannya serta-merta.

“Mereka terpedaya dengan penjualan tersebut memandangkan setiap pembelian kepala paip sememangnya tidak disertakan dengan surat pengesahan keselamatan daripada kerajaan.

“Ternyata pembelian kepala tong gas itu boleh dibeli di mana-mana sahaja kedai yang ada menjualnya dan harganya juga jauh lebih murah daripada dicadangkan mereka.

“Cara ini telah menunjukkan mereka menggunakan suri rumah yang tidak tahu apa-apa dalam mengaut keuntungan berlipat kali ganda memandangkan kepala tong gas yang mereka jual juga tidak ada bezanya,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, untuk mengelak penipuan berlanjutan kumpulan itu telah diminta menghentikan modus operandi mereka.

“Saya ada bincang dengan mereka supaya menghentikan cara itu memandangkan banyak suri rumah yang membuat pengaduan menyatakan cara jualan tersebut dengan cara paksaan dan menakutkan mereka.

“Aduan juga dilakukan kerana kebanyakan suri rumah tidak dapat menyediakan sijil kelulusan kepala tong gas dikeluarkan kerajaan, dan sememangnya ia tidak ada kerana itu saya menyatakan mereka cuba tipu suri rumah.

“Saya beri mereka tempoh selama sehari dan sekiranya masih terdapat aduan saya tidak ragu-ragu untuk membuat aduan kepada pihak berkuasa,” katanya.


Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment