Monday, May 19, 2014

Penyamun Bogelkan Mangsa

Image from Sinar Harian


BANDARAYA MELAKA - Bagi mengelakkan kegiatan jenayah samun mereka dilaporkan polis, sekumpulan lebih empat lelaki sanggup membogelkan mangsa lalu merakam gambar dan mengugut untuk menyebarkannya sebelum melarikan hasil samun bernilai lebih RM76,000.

Modes operandi itu digunakan sekumpulan penjenayah bertopeng dan bersenjatakan parang yang melakukan samun dipercayai di tiga buah rumah dalam tempoh kurang tiga jam di Bukit Katil, Klebang dan Kurbong, Khamis lalu.


Dalam kejadian di tiga lokasi, penjenayah berkenaan turut  mengakibatkan seorang daripada mangsa, warga emas yang menghidap sakit buah pinggang, terpaksa berputih mata apabila wang tunai RM12,000 disimpan untuk menjalani rawatan di sebuah hospital swasta di negeri ini lesap dilarikan penjenayah.

Menurut sumber dalam kejadian pertama kira-kira jam 6.30 pagi di Taman Merak Mas, Bukit Katil, mangsa, Bong Kim Lye 68, dan isterinya, 70, keluar menjual sayur di pasar di Bukit Baru sebelum rumah mereka dimasuki tiga penjenayah.

“Penjenayah mengikat adik ipar mangsa berusia 63 tahun dan cucu lelakinya, 23, sebelum membogel dan merakam gambarnya.

“Mereka menggeledah rumah mangsa kira-kira 40 minit sebelum melarikan diri bersama wang tunai RM12,000 dan barangan kemas di dalam rumah berkenaan,” katanya.

Sumber berkata, kira-kira jam 7.15 pagi, ahli kumpulan sama menyamun sebuah lagi rumah milik seorang ahli perniagaan di Taman Tay Boon Seng, Klebang mengakibatkan mangsa kerugian kira-kira RM22,000.

“Dalam kejadian itu, mangsa, 43, yang baru pulang dari luar negara, tidur di dalam bilik, manakala isterinya menghantar anak ke sekolah.

“Empat penjenayah itu bertindak membogelkan mangsa sebelum mengurungnya bersama pembantu rumah, 56, di dalam bilik air,” katanya.

Menurutnya, dalam kejadian ketiga, kira-kira jam 8.30 pagi, dipercayai kumpulan sama turut melakukan samun di sebuah rumah milik seorang lagi ahli perniagaan yang memiliki premis menjual telefon bimbit di Taman Krubong Perdana, Krubong.

“Ketika kejadian mangsa berusia 32 tahun sedang tidur dan isterinya, 31, pula mandi, manakala ibunya berusia lingkungan 60-an bersarapan sebelum penjenayah dipercayai masuk selepas ibu mangsa tertinggal kunci di pintu gerigi besi ketika membersihkan laman rumah.

“Ahli perniagaan itu turut dibogel dan dirakam gambarnya sebelum ketiga-tiga mangsa dikurung di dalam sebuah bilik. Mereka melarikan barang kemas, beberapa jam tangan, telefon bimbit dan wang tunai bernilai RM42,000,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah ketika dihubungi mengesahkan mengenai laporan berhubung ketiga-tiga kejadian berkenaan.

“Dipercayai jenayah itu dilakukan ahli kumpulan sama yang berpecah dua kerana penjenayah menggunakan modus operandi sama dengan membogelkan dan merakam gambar mangsa selain bertopeng dan bersenjatakan parang.

“Sehingga kini, kita masih mengesan suspek yang dipercayai adalah warga tempatan berbangsa Cina berdasarkan dialek Mandarin yang didengari mangsa kejadian,” katanya.

Raja Shahrom berkata, polis masih lagi mengesan kumpulan tersebut dan disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.


Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment